Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjangkakan bekalan ikan dan hasil laut seluruh negara akan pulih sepenuhnya pada April depan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata bekalan dan harga hasil laut akan kembali normal selepas peralihan cuaca kembali pulih.

"Kami mendapat maklumat fenomena musim tengkujuh, peralihan cuaca dan trend pendaratan ikan yang rendah seluruh negara telah bermula sejak akhir Disember 2017.

BACA: Larangan eksport ikan, jamin kelangsungan bekalan

"Ia dijangka berlanjutan pada masa kini dan pada kajian pihak LKIM, bekalan akan pulih pada April 2018," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Menurutnya, bencana dan peralihan cuaca menyebabkan trend pendaratan ikan di seluruh negara rendah dan terdapat permintaan yang tinggi bagi beberapa jenis ikan.

BACA: "Awat ikan termenung mahai sangat?"

"Ini terjadi hampir semua negeri terutama di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang dan Johor yang mengalami ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang dan laut bergelora seperti yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi.

"Keadaan ini menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut dan bekalan ikan berkurangan di pasaran," katanya.

Justeru, pihaknya telah mengambil inisiatif dengan menguatkuasakan larangan eksport beberapa jenis ikan bagi memastikan bekalan dalam negara sentiasa mencukupi.