Bekalan makanan negara setakat ini mencukupi. Itu jaminan diberikan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Malah ujarnya, pengeluaran dalam sektor perikanan dan ternakan ayam dalam negara buat masa ini mencatatkan peningkatan, kecuali bagi lembu dan kambing.

Namun beliau tidak menolak keperluan meningkatkan hasil tani selari dengan pertambahan populasi.

"Ya saya setuju, kita mesti meningkatkan pengeluaran makanan sendiri. Kalau kita melihat indikator ekonomi kita dalam suku kedua baru-baru ini, ada perkara yang kita lihat pertumbuhan yang baik biarpun pada waktu kekurangan dari segi pertumbuhan pertanian kita.

"Misalnya, sektor perikanan kita bertambah dengan baik iaitu pertumbuhan kira-kira 6.6 peratus dan ternakan 4.4 peratus.

"Walaupun ia meningkat, sudah tentu tidak cukup kerana pada masa sama penduduk kita juga bertambah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Agropreneur Muda dan Produk Showcase 2016 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, isu keselamatan makanan tidak hanya bergantung kepada keupayaan negara menghasilkan makanan sendiri, namun melibatkan beberapa faktor lain.

"Misalnya ranking dalam World Food Security, Singapura berada di tangga ketiga selepas Amerika Syarikat dan Ireland. Ini tidak bermakna Singapura mengeluarkan makanan sendiri tetapi ia dilihat kemampuan rakyat mendapatkan makanan dan kemampuan membeli makanan.

"Malaysia pula berada di tangga ke-39, malah kita berada di tangga di atas Thailand walaupun Thailand lebih maju dari segi pengeluaran makanan tetapi kemampuan rakyat membeli dan mendapatkan makanan dan sama ada makanan itu ada," katanya.

Beliau mengulas mengenai laporan terbaharu Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang menunjukkan bahawa Malaysia tidak mampu mengeluarkan makanan yang mencukupi kecuali daging dan ikan.

Malah pengeluaran makanan juga semakin menurun untuk beberapa produk termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran.