Pengeluaran telur ayam di Kedah cukup bagi menampung permintaan menjelang ketibaan sambutan perayaan Krismas, walaupun bekalannya ketika ini didapati berkurangan lima peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna, Koperasi dan Perdagangan Dalam Negeri Kedah, R. Summugam berkata kekurangan bekalan itu dipercayai berpunca daripada beberapa faktor termasuk kadar kematian ayam yang tinggi pada musim ini yang menjejaskan pengeluaran telur, serta kos kenaikan kos makanan ayam seperti gandum dan jagung yang diimport dari Brazil dan Argentina.

Katanya beliau dimaklumkan bahawa Kementerian Pedagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memeriksa di 36 premis berkaitan bekalan telur di seluruh negeri, yang melibatkan lima pengeluar, enam pemborong dan 25 peruncit, dan mendapati bekalan telur ayam ketika ini berkurangan lima peratus,

".... namun bekalannya di pasaran masih mencukupi bagi menampung permintaan sepanjang musim perayaan Krismas kali ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan harga sempena Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2018 peringkat negeri Kedah di Pasaraya Besar Mydin Taman Batik, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Pengarah KPDNHEP Kedah Chin Ching Chung, Pengarah Urusan Mydin Wilayah Utara Datuk Dr Saduruddin Gulam Husen dan Pengurus Mydin Taman Batik Mohd Fauzi Rashid.

Sementara itu, Summugam berkata, pemeriksaan di Pasaraya Besar Mydin itu turut mendapati bahawa telur ayam gred A, B dan C, masing-masing dijual mengikut harga runcit yang ditetapkan iaitu RM0.44 sebiji bagi telur gred A; RM0.43 sebiji bagi telur gred B; dan RM0.42 sebiji bagi telur gred C.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan pemeriksaan pada hari ini, Mydin didapati memang mematuhi skim kawalan harga yang ditetapkan, bahkan turut menawarkan barangan pada harga lebih rendah," katanya.

Dalam pada itu, Summugam berkata, 16 jenis barangan disenaraikan dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas antaranya ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan daging babi.

"Penguatkuasaan akan dijalankan bermula 23 hingga 27 Disember, dan peniaga diingatkan agar mematuhi harga yang ditetapkan atau bakal berdepan dengan tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

-- BERNAMA