Bekas ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas lima tuduhan menerima benda berharga bernilai RM12,707.60.

Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Rozilah Salleh.

Bagi pertuduhan pertama, Noor Ehsanuddin dituduh menerima suatu benda berharga iaitu penyelenggaraan kenderaan bernombor WRD 8251 milik isterinya, Zubaidah Kassim berjumlah RM640 daripada Karya Hidayah Sdn Bhd pada 10 Januari 2014 di BMWMB Auto Garage Sdn Bhd, No. 1, Lingkaran Tengah, Kg Pandan (IKS), Jalan Ulu Klang, Ampang, Selangor.

Bagi pertuduhan kedua, beliau dituduh menerima yuran guaman bernilai RM6,463.60 bagi pembelian tanah di Lot 5876, Mukim Kota Tinggi, Johor daripada Karya Hidayah Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan ketiga, Noor Ehsanuddin dituduh menerima suatu benda berharga iaitu penyelenggaraan kenderaan bernombor WRD 8251 milik isterinya, Zubaidah Kassim berjumlah RM3,400 daripada Karya Hidayah Sdn Bhd pada 11 Julai 2015 di BMWMB Auto Garage Sdn Bhd, No. 1 , Lingkaran Tengah, Kg Pandan (IKS) , Jalan Ulu Klang, Ampang, Selangor.

Bagi pertuduhan keempat, Noor Ehsanuddin dituduh menerima suatu benda berharga iaitu penyelenggaraan kenderaan bernombor WRD 8251 milik isterinya, Zubaidah Kassim berjumlah RM901 daripada Karya Hidayah Sdn Bhd pada 26 Oktober 2015 di Perkhidmatan Tayar dan Bateri Shuang Heng di Bukit Kemuning, Seksyen 34, Selangor.

Bagi pertuduhan kelima, beliau dituduh menerima suatu benda berharga iaitu penyelenggaraan kenderaan bernombor WVN 3936 miliknya, berjumlah RM1,303 daripada Karya Hidayah Sdn Bhd pada 8 Disember 2015 di BMWMB Auto Garage Sdn Bhd, No. 1, Lingkaran Tengah, Kg Pandan (IKS), Jalan Ulu Klang, Ampang, Selangor.

Kesemua pertuduhan boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Noor Ehsanuddin diwakili peguam, Datuk Thrichelvam Rasiah.

Manakala, pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman.

Hakim menetapkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Kes disebut semula 15 Mac depan.