Tutup

Bekas atase tentera, Muhammad Rizalman dibenarkan diikat jamin

Bekas atase tentera, Muhammad Rizalman dibenarkan diikat jamin
Muhammad Rizalman (gambar) dikenakan beberapa syarat ketat. - (AP Photo/Nick Perry)
WELLINGTON: Mahkamah New Zealand hari ini, membenarkan bekas atase tentera Malaysia, Muhammad Rizalman Ismail yang diekstradisi ke negara itu diikat jamin.

Kebenaran diberikan selepas peguambelanya berjaya berhujah yang tertuduh tidak pernah berhasrat melarikan diri dan meninggalkan negara itu menggunakan imuniti diplomatiknya sebelum ini.

Muhammad Rizalman sebelum ini berhadapan tuduhan cubaan merogol dan mencuri di Mahkamah Wilayah Wellington.

Rizalman didakwa menyerang Tania Billingsley, 21 tahun, di kediamannya pada Mei lalu.
Mahkamah turut meletakkan beberapa syarat ketat ketika membenarkan ikat jamin termasuk, perintah berkurung, tidak menghubungi individu yang mendakwa menjadi mangsa, menyerahkan pasportnya dan sentiasa di bawah pemerhatian dua wakil pegawai tentera Malaysia.

Muhammad Rizalman, 38, ditahan polis New Zealand pada 9 Mei lepas dan dihadapkan di mahkamah pada hari sama atas tuduhan melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita berumur 21 dengan niat untuk merogol.
Dia sekeluarga dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei dan Kementerian Pertahanan telah mengambil tindakan segera untuk menyiasat kes itu sebelum kembali ke New Zealand Jumaat lalu.