Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat direman tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima rasuah berjumlah AS$2.5 juta.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman bermula Khamis sehingga 8 Ogos depan di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi Khamis.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 48 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya kira-kira jam 4.30 petang Rabu selepas hadir memberi keterangan.

Difahamkan, suspek disyaki menerima suapan tersebut daripada sebuah syarikat luar negara sebagai balasan untuk pembelian 10,000 tablet berjumlah AS$5.8 juta sekitar 2014 sehingga 2018.

Bagaimanapun, pembelian tersebut dibuat secara sulit tanpa persetujuan daripada ahli lembaga pengarah syarikatnya sehingga menyebabkan kerugian besar.

Tambah sumber, wang rasuah yang diterima tersebut turut disorok di luar negara seperti di Singapura dan Hong Kong.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 (ASPRM 2009).