Bekas ketua pegawai eksekutif Institut Profesional Baitulmal Sdn Bhd (IPB), Dr Syed Omar Syed Agil hari ini berjaya dalam samannya terhadap IPB berhubung siasatan dalaman yang dijalankan terhadapnya atas dakwaan salah laku.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara yang membenarkan saman pemula itu turut membenarkan permohonan plaintif bagi membatalkan notis siasatan dalaman bertarikh 6 Okt 2015.

O'Hara dalam keputusannya berkata mahkamah mendapati IPB selaku defendan gagal membuktikan siasatan dalaman terhadap Syed Omar bukan suatu 'tindakan balas' kerana tindakan plaintif membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Mahkamah turut memerintahkan IPB membayar kos berjumlah RM18,750 kepada plaintif.

Dalam saman pemula terpinda yang difailkan pada 27 Dis 2016, Syed Omar memohon perintah injunksi supaya IPB dihalang daripada meneruskan siasatan dalaman terhadapnya menurut Notis Siasatan Dalaman bertarikh 6 Okt 2015 dan membatalkan notis siasatan itu.

Plantif memohon perintah itu atas alasan beliau adalah seorang pemberi maklumat dan sepatutnya diberi perlindungan di bawah Akta Pemberi Maklumat 2010.

Plaintif mendakwa beliau telah membuat laporan kepada SPRM dan Polis Diraja Malaysia berhubung salah urus kewangan yang dilakukan pegawai atau pekerja IPB.

Syed Omar mendakwa sebagai tindakan balas terhadap laporan polis dan SPRM itu IPB telah menggantung kerjanya mulai 7 Okt 2015 selain mengenakan tindakan tatatertib terhadapnya sejak 19 Okt tahun sama.

Syed Omar diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan Aston Pavia manakala IPB diwakili peguam Nurul Aini Zakaria.

-- BERNAMA