Walaupun baru sahaja tahun lalu selesai menjalani hukuman penjara dan sebatan di Singapura atas kesalahan jenayah seksual, seorang bekas peserta program realiti memasak membuat 'onar' pula di seberang tambak.

Bekas finalis Chef Selebriti Singapura itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan iaitu persetubuhan di luar tabii dan membuat ugutan pada 10 Disember 2015.

Bernama melaporkan, Muhammad Mustaqim Juri, 38, didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa yang berusia 22 tahun di sebuah tempat letak kereta di Jalan Persiaran Tanjung, Tampoi.

Dia juga didakwa melakukan ugutan terhadap ibu mangsa berumur 47 tahun, di rumah mangsa pada hari yang sama di Taman Cempaka, Tampoi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin oleh Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi, yang juga menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 17 Januari depan.

Kes tersebut bukan yang pertama seumpamanya bagi Muhammad Mustaqim yang mempunyai tiga orang anak.

Memetik laporan portal berita AsiaOne, di Singapura, dia pernah didakwa pada tahun 2013 kerana melakukan jenayah seksual ke atas budak lelaki berusia 13 tahun pada September 2011 termasuk perlakuan seks oral dan liwat.

Setelah mengaku bersalah, dia dijatuhkan hukuman empat tahun tiga bulan penjara dan empat sebatan, namun tempoh penjaranya dihitung daripada hari pertama reman pada 2011.

Pada tahun 2007, Muhammad Mustaqim merupakan naib juara program realiti saluran televisyen Melayu republik itu, Chef Selebriti, namun pernah menganggur selepas itu kerana perniagaan kateringnya gagal.