Tiga pengamal undang-undang termasuk seorang bekas hakim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menerima rasuah wang tunai RM17,500, Julai lepas.

Tertuduh, Azmil Muntapha Abas, 45, bekas hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhwa Yusri Mohamad, 32, bekas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mahkamah Kuala Kubu Bharu dan seorang peguam, Noor Amirul Nazreen Anas, 31, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Azmil Muntapha kini bertugas sebagai pegawai undang-undang di Kompleks Mahkamah Putrajaya manakala Khairul Azhwa Yusri bertugas di Jabatan Peguam Negara.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai sebanyak RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong, 40, sebagai upah kepada Azmil Muntapha untuk menjatuhkan hukuman denda sahaja ke atas tujuh pendatang asing yang melakukan kesalahan di bawah perenggan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, dekat sini antara 9.30 pagi hingga 2.45 petang, 17 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



TPR SPRM, Allan Suman Pillai menawarkan wang jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta memohon syarat tambahan iaitu pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Barisan peguam yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu antara RM2,500 hingga RM12,000 setiap seorang.

Azmil Muntapha diwakili peguam Gregory Santiago, A. Sheelan, Ridha Abdah Subri dan Jagesh M. Lingam manakala Khairul Azhwa Yusri diwakili Zulkepli Omar dan Nur Fathin Muhammad Zain. Noor Amirul Nazreen pula diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan dan Noorhidayah Mohd Saad.

Rozilah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Di mahkamah sama, Azmil Muntapha turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan iaitu secara rasuah memperoleh bagi dirinya sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, wang tunai RM5,000 yang didepositkan ke dalam akaun banknya daripada Soo Seng Kok, 36, melalui Zumairi Othman, 37, seterusnya melalui Ahmad Feisal Mohd Azmi, 37.

Wang itu adalah sebagai upah kepada tertuduh kerana melakukan perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu menjatuhkan hukuman denda terhadap enam individu yang melakukan kesalahan di bawah subsekyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka (Akta 289).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank, Jalan Meru, Klang dekat sini, pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 17(a) SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali jumlah rasuah terbabit atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azmil Muntapha juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi kesalahan serupa iaitu menerima bagi dirinya RM5,000 tanpa balasan daripada individu sama.

Bagi pertuduhan itu, Azmil Muntapha dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 16 Dis untuk sebutan semula kedua-dua kes. - BERNAMA