Bekas imam Masjid Mukim Perol rentung setelah terperangkap dalam kebakaran di rumahnya, di Kampung Jenereh, Meranti dekat sini siang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa Jaafar Yusof, 80, yang lumpuh akibat penyakit angin ahmar ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu rumahnya.

Difahamkan ketika kejadian, isterinya Zijah Abdul Rahman, 65, berjaya diselamatkan oleh jiran-jiran yang tinggal berhampiran dengan rumah warga emas berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Pasir Mas, Eltarraf Mohamed berkata, seramai 12 anggota dari Pasir Mas dan Rantau Panjang bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.58 tengah hari.

Tambah beliau, api berjaya dikawal sepenuhnya oleh anggota bomba kira-kira pukul 1.50 petang.

Punca dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan (JBPM), Azmi Osman menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka di musim cuaca panas ketika ini.

Katanya berlaku peningkatan kes kebakaran dari awal Januari hingga kini, 32 kes melibatkan kebakaran sampah, 46 kes melibatkan kebakaran belukar dan hutan kecil.

Jumlah kes tersebut meningkat berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Saya menyeru kepada semua golongan masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya di tempat pembakaran sampah dan berhampiran dengan hutan. Ini akan menyebabkan kerosakan pada tanaman dan sebagainya,” Azmi berkata.

Tambah beliau, pembakaran hutan juga akan menyebabkan pihak bomba terpaksa mengerahkan keseluruhan anggotanya untuk mengawalnya yang sudah pasti melibatkan kos yang tinggi dan menyebabkan anggotanya terdedah kepada risiko penyakit.