Bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan meninggal dunia di sebuah hospital swasta, di sini hari ini kira-kira pukul 4.45 petang tadi akibat kanser hati.

Anak Allahyarham, Fateen Mohd Shukri memaklumkan, ayahnya dibawa ke hospital berkenaan oleh keluarga kira-kira pukul 4.30 petang selepas mengadu berasa agak kurang sihat.

Beliau ketika dihubungi memberitahu ringkas, kira-kira 15 minit selepas dirujuk ke hospital itu, ayahnya disahkan meninggal dunia.

Jenazah Mohd Shukri, 65, akan dibawa ke kediamannya di Jalan Empangan Satu 8/14A, Seksyen 8 di sini malam ini dan dijangka disembahyangkan di Masjid Negeri, pukul 9 pagi esok.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini.

Selain pernah bertugas sebagai Ketua Polis Selangor, Allahyarham Mohd Shukri juga pernah menjadi Ketua Polis Perak dan pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam Selangor bagi sesi 2015 hingga 2017. - BERNAMA