Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Hasmah Abdullah sebagai pengerusi Jawatankuasa Reformasi Cukai.

Menterinya Lim Guan Eng berkata, ia akan turut dianggotai oleh tokoh-tokoh yang mempunyai kepakaran dalam bidang pencukaian dan kewangan, iaitu Dr Verinderjeet Singh, Datuk Chua Tia Guan dan Amardeep Singh.

Katanya lagi, jawatankuasa ini dilengkapi dengan penyertaan Setiausaha Bahagian Cukai dan Timbalannya, Datuk Khodijah Abdullah dan Mohd Sakeri Abdul Kadir, bersama Timbalan Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Mohd Hassan Ahmad.

“Antara objektif utama jawatankuasa adalah mengenalpasti jurang pencukaian termasuk menangani masalah ketirisan cukai, pengenalpastian dan penerokaan sumber baharu pendapatan cukai, pengenaan cukai terhadap ekonomi digital, serta penyemakan keberkesanan insentif cukai mengikut tahap pematuhan syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, memandangkan asas cukai telah dikecilkan, kerajaan juga perlu mengkaji langkah-langkah selanjutnya supaya dapat meningkatkan kutipan cukai secara progresif tanpa membebankan golongan B40.

Oleh itu, menerusi jawatankuasa itu, satu kajian menyeluruh ke atas sistem pencukaian Malaysia diperlukan bagi menjadikannya menjadi lebih efisien, berkecuali, progresif dan mampu menjana pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Selain itu Guan Eng turut menjelaskan, jawatankuasa akan turut mengenalpasti jurang pencukaian termasuk menangani masalah ketirisan cukai, pengenalpastian dan penerokaan sumber baharu pendapatan cukai, pengenaan cukai terhadap ekonomi digital, serta penyemakan keberkesanan insentif cukai mengikut tahap pematuhan syarat yang ditetapkan.

Selain mengkaji semula sistem pencukaian secara menyeluruh, jawatankuasa ini turut ditugaskan untuk memperluaskan dan mempelbagaikan hasil cukai tanpa meletakkan beban tambahan kepada rakyat, serta mencari cara untuk meminimumkan kebocoran cukai.

“Sebarang cukai baharu perlu dipertimbangkan berdasarkan kecekapan, sifat berkecuali, progresif, dan menggalakkan kemampanan ekonomi jangka panjang serta peningkatan produktiviti.

“Sekiranya dilaksanakan dengan betul, sebarang langkah pencukaian boleh menjadi lebih bersasar dan progresif. Malah, sebahagian besar langkah-langkah cukai ini telah dijalankan di negara maju dan di negara jiran. Yang penting sekali, langkah-langkah cukai ini tidak boleh membeban golongan berpendapatan rendah,” katanya lagi.