Bekas pengarah urusan Felcra Training Consultancy Sdn Bhd akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya dalam satu kenyataan hari ini berkata pegawai kanan itu, yang akan menghadapi pelbagai tuduhan rasuah di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, diminta hadir di mahkamah pada jam 8.30 pagi.

"Dia ditahan pada September 2018 oleh SPRM. Butir-butir mengenai pertuduhan akan diketahui esok apabila dibacakan di mahkamah," katanya.

Seksyen itu menyebut mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya, melakukan suatu kesalahan.

-- BERNAMA