Bekas pegawai khas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas 15 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berjumlah RM19.39 juta antara Februari hingga September tahun lalu

Tertuduh, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan, 56, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut empat pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM11.2 juta sekitar Februari hingga Ogos tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman maksimum 20 tahun penjara dengan sebatan dan denda.

Tertuduh turut berdepan 11 pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001 (Akta 613) membabit nilai RM8.19 juta.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh antara Mac hingga September tahun lalu di sekitar daerah Melaka Tengah.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman maksimum 15 tahun penjara dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afzainizam Abdul Aziz mencadangkan mahkamah untuk memberikan jaminan RM 3 juta dengan mengambil kira jumlah kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah tinggi.

Beliau turut mencadangkan mahkamah untuk menahan passport tertuduh selain perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork memohon mahkamah untuk mengurangkan jaminan memandangkan aset tertuduh serta isteri dan anak-anaknya telah dibekukan.

Tertuduh juga menanggung ibu yang sudah uzur dan menjadi tulang belakang kepada ahli keluarganya selain tidak pernah gagal memberikan kerjasama kepada pihak SPRM sepanjang siasatan dijalankan sejak ditahan reman 28 November tahun lalu.

Norma pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM 1.6 juta dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain menetapkan 22 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.