Seorang bekas pegawai tadbir kanan International Council for Scientific Union Regional Office for Asia Pasifik (ICSU-ROAP) di bawah Akademi Sains Malaysia direman lima hari di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah.

Turut direman lima hari sehingga 3 Feb depan ialah rakan bekas pegawai tadbir kanan tersebut yang ditahan bersamanya pada Isnin.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mohd Nor Hafidzuddin Yusoff selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut.

Laporan sebelum ini menyebut lelaki berumur 44 tahun itu ditahan bersama rakannya juga seorang lelaki berumur 57 tahun di sebuah kondominium di ibu negara pada 11.30 pagi Isnin.

Kedua-duanya yang ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada kira-kira 10 pagi bagi prosiding reman.

Laporan yang memetik sumber SPRM sebelum ini menyebut bekas pegawai tadbir kanan itu bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan kewangan ICSU-ROAP.

Dia dipercayai memalsukan tandatangan bagi mendapatkan kelulusan ASM untuk menjalankan program ICSU-ROAP yang diuruskannya.

Bekas pegawai tadbir kanan berkenaan yang dilantik secara kontrak sejak 2008 disyaki telah bersubahat dengan rakannya bagi menyeleweng dana lebih kurang RM3 juta sejak 2012 hingga 2017.

Dia dipercayai telah memalsukan tandatangan pengarah ICSU-ROAP dan pengurus program ICSU-ROAP dalam dokumen tuntutan bagi pelaksanaan 73 program di dalam dan luar negara yang dianjurkan ICSU-ROAP.

Dia didapati telah mengemukakan invois, bil-bil hotel, tiket penerbangan dan lain-lain dokumen yang disyaki palsu bagi menyokong perbelanjaan program sedangkan ada sesetengah perbelanjaan tidak wujud dan ia bertujuan mendapatkan semula wang tersebut dengan menyalurkan ke akaun peribadi beliau.

Lelaki itu juga didapati telah mengada-adakan kewujudan seorang akauntan ASM palsu, kononnya membenarkan bayaran lebihan seperti hotel dan tiket penerbangan itu dikembalikan dan dimasukkan ke akaun peribadinya.

Rakannya telah menyamar menggunakan gelaran sebagai seorang profesor lestari dari universiti tempatan yang kononnya merupakan seorang ahli sains yang mewakili negara ke program yang diadakan di luar negara anjuran ICSU-ROAP.

Difahamkan, dana untuk ICSU-ROAP disalurkan daripada ICSU-Paris sebanyak 75 juta euro (RM361 juta) dan RM1 juta daripada Kementerian Kewangan yang disalurkan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi kepada ASM setiap tahun.

-- BERNAMA