Tutup

Bekas pekerja akhbar milik Samy Vellu tuntut gaji, pampasan RM1.36 juta

Bekas pekerja akhbar milik Samy Vellu tuntut gaji, pampasan RM1.36 juta
Bekas kakitangan Tamil Nesan mendakwa Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran gagal membela nasib mereka.
KUALA LUMPUR: Seramai 40 pekerja akhbar berbahasa Tamil, Tamil Nesan milik bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu dan anaknya, Datuk Seri S Vell Paari yang menghentikan operasi pada Januari lalu menuntut agar syarikat itu membayar gaji dan pampasan yang sekian lama tertangguh.

Pada masa sama, mereka berharap masalah mereka turut menjadi perhatian Kementerian Sumber Manusia seperti mana perhatian yang berikan kepada kemelut yang melanda syarikat Utusan Melayu.
Bekas editor akhbar itu, K Padmanabhan turut mendakwa Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran gagal membela nasib mereka.

"Isu sama dihadapi Utusan Malaysia baru-baru ini dan saya bangga kepada ramai pemimpin UMNO, BN dan pembangkang memberi tekanan kepada majikan mereka.
"Tapi kita lihat YB Kula tidak melaksanakan apa-apa tindakan (untuk membantu bekas pekerja Tamil Nesan) setakat ini," katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Vell Paari di sini.

Mewakili petugas akhbar berkenaan, Padmanabhan menuntut penyelesaian gaji bulan Mac 2019 dan pembayaran pampasan dengan nilai keseluruhan RM1.36 juta.

Mereka juga memohon caruman KWSP dan insurans yang tertangguh dilangsaikan.

Tamil Nesan merupakan akhbar berbahasa Tamil yang tertua di Asia Tenggara dan beroperasi sejak 1924.

Akhbar berkenaan dihentikan operasinya pada 31 Januari lalu selepas 96 tahun beroperasi.

Difahamkan syarikat itu berjanji membayar keseluruhan gaji kepada semua bekas pekerjanya tetapi sehingga kini mereka masih belum menerima apa-apa bayaran.


Tag: UMNO, Barisan Nasional, MIC, KWSP, EPF, Asia, Melayu, pembangkang, akhbar, Tamil Nesan, Samy Vellu, Utusan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.