Ismail Thanam atau lebih dikenali sebagai "Ismail Ternang", bekas pemimpin Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO) masih ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Timbalan menteri pertahanan Thai Jen Udomdej Sitabutr yang mengesahkan demikian berkata, Ismail, dalam usia 60an, ditahan atas tuduhan berkaitan senjata api.

Memiliki senjata api di Malaysia adalah satu kesalahan.

"Kami terus mengikuti kes (Ismail). Kami belum menerima beliau balik," katanya kepada media ketika ditanya tentang bekas pemimpin militan itu sebelum beliau menghadiri satu mesyuarat di sini hari ini.

Udomdej yang mengetuai "Kabinet Hadapan" bagi menangani masalah di Selatan Thai berkata, pihak berkuasa Thai perlu menunggu rakan negara jiran Malaysia menyelesaikan siasatan mereka mengenai Ismail sebelum melaksanakan langkah seterusnya.

Thailand, katanya, tidak terlibat dalam siasatan terhadap Ismail, yang dihukum penjara seumur hidup tetapi dibebaskan pada 2015 setelah mendapat pengampunan daripada mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.

Komander Wilayah Tentera Empat Lt Jen Piyawat Nakwanich mengesahkan kepada Bernama mengenai penangkapan Ismail di Malaysia beberapa hari lalu, tetapi enggan memberikan butiran lanjut.

Namun satu sumber berkata, Ismail yang pada satu ketika memimpin perjuangan bersenjata di selatan Thai ditangkap oleh polis Malaysia di sebuah restoran yang diusahakan oleh keluarganya di Perak kerana kesalahan berkaitan senjata api.

Ini berikutan satu operasi di Kedah beberapa hari lalu ketika seorang lelaki ditembak mati dalam satu kejadian tembak menembak.

Si mati disyaki terlibat dalam penyeludupan senjata di sempadan Malaysia-Thailand.

Sementara itu Udomdej berkata walaupun Ismail sentiasa dipantau oleh pihak keselamatan Thai sejak dia keluar dari penjara, ini tidak menghalangnya dari melawat negara-negara jiran.

Menyentuh proses damai di Selatan Thai, timbalan menteri itu berkata proses itu masih berjalan dengan kedua-dua pihak berusaha menyelesaikan isu berkaitan pelaksanaan Zon Keselamatan.

Bangkok dan Mara Patani, sebuah badan yang menaungi beberapa kumpulan di Selatan Thai, terlibat dalam proses damai itu dengan Malaysia bertindak sebagai fasilitator.

Sebuah jawatankuasa tindakan bersama akan ditubuhkan di Zon Keselamatan , dengan anggotanya terdiri daripada penduduk tempatan demi menentukan kejayaannya, kata beliau.

Proses damai tiu telah mencapai kemajuan menggalakkan walaupun secara perlahan, kata Udomdej.

-- BERNAMA