Bekas penerbit sambilan program televisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencabul seorang wanita di sebuah surau di Jalan Rabung U8/36A, Seksyen U8 di sini, 6 Okt lepas.

Mohammad Ferdaus Mashud, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret P. Sarulatha.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Ferdaus melakukan jenayah kekerasan kepada mangsa yang berusia 44 tahun dengan mencabul kehormatannya di surau berkenaan kira-kira pukul 1.40 tengah hari.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Dalam kes itu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Suraya Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 12 Dis depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Seksyen di sini, Mohammad Ferdaus turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merompak dan cuba melakukan rompakan ke atas dua wanita di dua buah surau berasingan iaitu di Seksyen U8 dan Seksyen 4 di sini pada 18 Ogos dan 6 Okt lepas.

Tertuduh membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, Mohammad Ferdaus didakwa merompak beg tangan milik seorang wanita berusia 35 tahun dengan bersenjatakan parang panjang di sebuah surau di Seksyen 4 di sini, pada pukul 1.54 tengah hari 18 Ogos lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun dan sebatan atau denda.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Basir dan mahkamah menetapkan 4 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohammad Ferdaus didakwa cuba melakukan rompakan ke atas seorang wanita berusia 44 tahun di sebuah surau di Jalan Rabung U8/36A, Seksyen U8 di sini kira-kira 1.40 tengah hari pada 6 Okt lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan atau denda.

Bagi kes itu juga, tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 12 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA