Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang hari ini memperoleh perintah tahanan reman empat hari bermula hari ini terhadap bekas pengarah sebuah agensi kerajaan bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan RM42,000 pada 2013.

Perintah tahanan reman yang dikeluarkan Majistret Nurunaim Abdullah di sini turut dikenakan terhadap seorang bekas pegawai dan seorang kakitangan sebuah lagi agensi kerajaan lain di bawah kementerian sama.

Pegawai Pendakwa SPRM Kamariah Seman memohon perintah reman itu terhadap ketiga-tiga lelaki berkenaan bagi membantu siasatan kes rasuah yang melibatkan pengeluaran Sijil Taraf Bumiputera palsu pada 2013.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Bekas pengarah yang berusia 39 tahun dan dua lelaki masing-masing berusia 35 tahun dan 30-an itu ditahan sepasukan anggota SPRM Pahang di pejabat suruhanjaya itu di sini petang semalam. -- Bernama