Bekas Pengarah Eksekutif Kencana Petroleum Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bagi pertuduhan memperoleh lebih 1 juta unit saham Kencana Petroleum Berhad melalui penyampaian maklumat sulit pada 2011.

Yeow Kheng Chew, 64 bagaimanapun mengaku tidak bersalah memperoleh 1,159,000 unit saham Kencana Petroleum Berhad, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.

Yeow merupakan bekas rakan kongsi perniagaan anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mokhzani.

Bernama melaporkan dua lagi individu iaitu Paulene Chee Yuet Fang dan remesier Tan Yee Chee mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Yeow selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, Yeow yang diwakili peguam Sunder Thulasi, memperoleh 1.1 juta unit saham Kencana Petroleum Berhad melalui akaun Sistem Depositori Pusat milik Paulene.

Dia didakwa memperoleh unit saham itu melalui perolehan maklumat sulit iaitu maklumat mengenai cadangan penggabungan perniagaan Kencana Petroleum Berhad Group dan SapuraCrest Petroleum Berhad Group, yang tidak boleh didapati secara umum.

Yeow didakwa melakukan kesalahan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan di sini pada 8 Julai 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan didenda tidak kurang RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Chee, 56, yang diwakili peguam Lim Kon Keen dan Tan, 46, yang diwakili peguam Chong Loong Men didakwa bersubahat dengan Yeow bagi memperoleh 1.1 juta unit saham Kencana Petroleum Berhad, di tempat dan tarikh yang sama.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 370(1)(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan, yang memperuntuk hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Yeow diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua orang penjamin manakala Chee dan Tan dibenar diikat jamin masing-masing sebanyak RM800,000 dengan dua orang penjamin.

Mahkamah juga memerintahkan ketiga-tiga tertuduh supaya tidak perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah kerana Yeow perlu ke luar negara atas urusan perniagaan.

Mahkamah memerintahkan supaya kesemua kes itu dibicarakan bersama kerana ia melibatkan perkara dan jumlah transaksi yang sama. Ia menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Roz Mawar Rozain daripada Suruhanjaya Sekuriti.