Bekas Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM5,000 membabitkan wang daripada Kumpulan Wang Amanah Koperasi pada 2016.

Tertuduh Datuk Mohamad Zawawi Mahmud yang kini memegang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Dana dan Pelaburan SKM membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Zawawi dengan jalan tipuan dan jalan curang mendorong Ketua Unit Promosi dan Pengembangan SKM negeri, Fadzlurahman Zainudin, menyerahkan RM5,000 peruntukan daripada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi.

Duit berkenaan adalah untuk pengurusan Seminar Usahawan Muda Berkoperasi Daerah Rompin di kampus Universiti Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin pada 18 Oktober 2016, namun seminar itu tidak dianjurkan pada tarikh dimaklumkan tertuduh kepada Fadzlurahman.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di pejabat SKM Kuantan pada 10 Oktober 2016.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohd Zamry, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.

Hakim Mohd Ghazali memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta penyerahan dokumen.