Seorang bekas pengarah yayasan milik kerajaan negeri Perlis bergelar Datuk direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Sabtu.

Ia bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan dan salah guna kuasa berhubung pembelian dua lot tanah yang dianggarkan bernilai lebih RM1.8 juta pada tahun 2014 dan 2015.

Majistret Monica Joseph Gaisah membenarkan suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 15 Januari di Hospital Tunku Fauziah, Kangar.

Permohonan reman dilakukan di hospital berkenaan kerana suspek dinasihatkan untuk berada dalam pemantauan doktor selepas menjalani pemeriksaan kesihatan Jumaat malam.

Semalam, lelaki yang berusia 61 tahun itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 3.13 petang di Pejabat SPRM Negeri Perlis selepas hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati bekas pengarah tersebut menggunakan jawatan dan kedudukannya pada ketika itu bagi pembelian dua lot tanah di Mukim Kurong Anai, Perlis yang dianggarkan bernilai lebih RM1.8 juta tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah yayasan milik kerajaan negeri Perlis.

Tambah sumber, suspek disiasat mengikut Seksyen 17 dan Sekyen 23 Akta SPRM 2009.