Bekas pengurus kanan sebuah syarikat Jepun yang pernah ditahan dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dituduh dengan 13 pertuduhan atas kesalahan penggubahan wang haram melibatkan jumlah bernilai lebih RM500,000.

Dalam satu kenyataan SPRM menjelaskan, tertuduh, Foo Tseh Wan, 40, yang didakwa melakukan kesalahan tersebut dua tahun lalu dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pagi tadi.

"Foo yang merupakan bekas pengurus kanan Toyota Tsusho (M) Sdn Bhd cawangan Johor Bahru, didakwa dengan 13 pertuduhan berhubung penggubahan wang haram.

"Tertuduh yang didakwa telah menerima wang RM500,073.00 menerusi 13 transaksi yang dimasukkan ke
dalam akaun miliknya daripada Syarikat JB Advance Plastic Marketing Sdn Bhd.

"Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di beberapa bank di Johor Bahru antara 6 Februari 2015 dan 3 Jun 2015," jelas kenyataan itu.

BACA: SPRM tahan bekas pengurus kanan terlibat rasuah

Jelas kenyataan itu, tertuduh didakwa di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

"Jika disabitkan dengan kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi," jelas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Foo mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Pada 8 Mac tahun lalu, tertuduh pernah didakwa di seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) dengan 115 pertuduhan melibatkan jumlah suapan melebihi RM100 juta.

Mohd Fauzi membenarkan jaminan sebanyak RM 50,000 bagi semua pertuduhan dan tertuduh diarahkan
menyerahkan passport kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Mac 2017.

Pendakwaan bagi pihak SPRM dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat.

Mohd Fauzi turut membenarkan pertuduhan hari ini dijalankan serentak dengan perbicaraan kes tertuduh
sebelum ini dan tarikh bicara ditetapkan pada 22 Mei depan.