Seorang bekas penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga lagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM108,000 pada 2018 dan 2019 lalu.

Tertuduh, Herman Ibrahim, 45 tahun, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Pada 17 Julai lalu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas tiga tuduhan menerima suapan berjumlah RM149,600.

Bekas Pegawai Kebudayaan Kumpulan Selendang Perak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di tempat dan waktu berbeza ketika bertugas sebagai ejen kepada Sekretariat Sukma XIX Perak 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran, sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan 19 Ogos depan bagi pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Khairilazwar Khalil.