Seorang bekas penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah yang melibatkan RM149,600, sejak tahun 2018.

Tertuduh, Herman Ibrahim, 45 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika menjadi Pegawai Kebudayaan Kumpulan Selendang Perak, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang juga ejen kepada Sekretariat Sukma Perak 2018.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima wang berjumlah RM7,500 sebagai balasan daripada pemilik syarikat Pro Explore Event Management, Mohd Zulkhibri Abdul Mutalib, yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh, di Public Bank Berhad, Jalan Sultan Idris Shah, di sini, pada 15 Nov 2018.

Bagi pertuduhan kedua pula, Herman didakwa menerima wang berjumlah RM 68,600 dengan tiada balasan daripada Raja Khairy Ehsan Raja Norddin melalui pemindahan wang ke dalam akaun pihak ketiga iaitu Syarikat Ohana Services, untuk pembekalan bagi penubuhan syarikat dobi Eh Matrix Resources, milik bapa mertuanya, Bustanudin Bustamam, di cawangan Bank Rakyat, Medan Gopeng, Jalan Raja Dr. Nazrin Shah, di sini, pada 14 Feb 2018.

Pertuduhan ketiga pula, dia didakwa menerima wang tunai berjumlah RM73,500 dengan tiada balasan daripada pemilik Syarikat Rainhousemusic, Raja Khairy Ehsan melalui pihak ketiga iaitu Maarof Ahmad, yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh, di perkarangan Stadium Perak, di sini, pada 18 Feb 2019.

Herman dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 untuk semua pertuduhan dan dikehendaki melaporkan diri setiap bulan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam Khairilazwar Khalil.