Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Penolong Eksekutif Felcra Urus Estet Changkat Jong, Teluk Intan, malam tadi.

Ia bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa untuk mendapatkan pemilikan 13 lot tanah antara 2007 hingga 2018.

Lelaki berumur 56 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Meru, dekat sini, pada 11.17 malam Khamis.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat untuk mendapatkan perintah reman.

Penolong Pendaftar Azuratul Akmar Abdul Ghafar membenarkan suspek ditahan reman selama empat hari, hingga Isnin.

Suspek dikatakan menggunakan kedudukannya sewaktu bertugas untuk mendapatkan tanah berkenaan dengan cara menamakan kroninya kepada pihak Jawatankuasa Pemilihan Tanah Daerah (JKPTD) Hilir Perak sebagai peserta di satu kawasan Rancangan Pertanian Berkelompok di bawah Projek Tanah Milik FELCRA Berhad, sebelum dipindah milik kepada diri sendiri dan saudaranya selepas lima tahun.

Berikutan itu, suspek dan saudaranya dikatakan menerima bayaran dividen dari pihak Felcra Berhad lebih RM1 juta dari 2008 hingga sekarang sebagai peserta projek berkenaan.

Antara 2012 hingga sekarang, suspek juga dikatakan giat meminta rasuah berjumlah RM40,000 bagi setiap ekar tanah daripada beberapa penduduk setempat atau kenalannya.

Ia sebagai balasan menggunakan kedudukannya sebagai Penolong Eksekutif dalam memasukkan nama-nama mereka ke dalam JKPTD Hilir Perak untuk mendapatkan tanah rancangan berkenaan, termasuklah tanah berstatus rizab Melayu kepada bukan Melayu.

Penggeledahan di rumah suspek pada Khamis menemukan beberapa harta yang disyaki dimiliki hasil kegiatan rasuah.

Antaranya dua kenderaan jenis Toyota Harrier dan Toyota Hilux, dua set perabot sofa mewah, 22 beg tangan berjenama mewah, sembilan geran lot tanah atas nama suspek dan saudaranya, dan sebuah banglo yang dianggarkan bernilai RM600,000.

Jumlah keseluruhan aset yang dimiliki suspek dianggarkan melebihi RM 1 juta, berbanding kemampuan emolumen yang diraih olehnya.