Bekas Raja Permaisuri Agong Siti Aishah Abdul Rahman memfailkan petisyen pemiutang terhadap penerbit Syed Hussein Alwee kerana gagal membayar wang berjumlah RM2,005,383.55 kepadanya seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Temerloh.

Wang itu merupakan bayaran ganti rugi yang perlu dibayar oleh Syed Hussein kepada Siti Aishah kerana melanggar maklumat sulit beliau (Siti Aishah) dalam satu kes saman di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang.

Mahkamah Tinggi Temerloh memerintahkan Syed Hussein membayar jumlah ganti rugi am dan teladan yang dituntut Siti Aishah sebanyak RM1.5 juta itu pada 23 Okt 2013.

Dalam notis kebankrapan yang dikemukakan Siti Aishah, wang yang perlu dibayar itu merangkumi ganti rugi am dan teladan berjumlah RM1.5 juta, faedah terhadap jumlah itu pada kadar lapan peratus setahun sebanyak RM500,383.56 dan kos sebanyak RM5,000 yang kesemuanya berjumlah RM2,005,383.55.

Siti Aishah, 45, memfailkan petisyen pemiutang itu pada 25 Ogos lepas melalui peguam T.Gunaseelan di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam petisyen itu, Siti Aishah memohon supaya satu perintah penerimaan dan penghukuman dibuat berhubung dengan wang yang kena bayar atas penghakiman terhadap penghutang penghakiman iaitu Syed Hussein.

Petisyen pemiutang itu menyatakan bahawa Syed Hussein telah gagal mematuhi arahan-arahan di dalam notis kebankrapan bertarikh 29 Jan 2016 yang menghendakinya membayar hutang berjumlah RM2,005,383.55 kepada Siti Aishah dalam masa tujuh hari selepas notis itu disampaikan kepadanya pada 12 April 2016.

Gunaseelan, yang ditemui pemberita selepas kes itu disebut di hadapan Timbalan Pendaftar Tania Arissa Andi Sanrang, berkata mahkamah menetapkan 20 Dis ini untuk pendengaran petisyen pemiutang itu.

Syed Hussein tidak diwakili peguam. -- Bernama