Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati bekas pesakit COVID-19 untuk tidak menerima pelawat sekiranya masih berada dalam tempoh kuarantin 14 hari di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata selepas 14 hari, mereka boleh menerima pelawat dengan syarat mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

"Dalam tempoh 14 hari itu, kalau boleh jangan ada pelawat jumpa pesakit tersebut.

"Selepas 14 hari di rumah, mereka boleh jumpa pelawat tetapi kena patuh garis panduan iaitu penjarakan sosial, guna topeng muka, kerap cuci tangan dan sebagainya," katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini hari ini.

Jelas beliau, mengikut prosedur sedia ada, mereka yang telah negatif dan dibenarkan discaj masih perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.