Kita yang duduk di rumah tidak pernah melihat bahkan terlalu jauh untuk mengalami keadaan yang sangat menakutkan iaitu dijangkiti wabak pandemik COVID-19.

Malah dijangkiti pada usia 59 tahun, mungkin menyebabkan kesukaran selain sangat berisiko tinggi untuk sembuh.

Bagi seorang bekas pesakit yang pernah bertarung nyawa selama 23 hari di tiga pusat kuarantin yang berbeza, pengalaman itu bukanlah satu perkara yang indah untuk dikenang.

Namun, daripada pengalaman itu, guru dari Kota Samarahan ini melihat sendiri setiap pengorbanan yang dilakukan oleh para petugas barisan hadapan.

Sejak dimasukkan ke wad pesakit COVID-19 di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 23 Mac lalu, layanan terbaik diberikan semasa pemeriksaan serta rawatan yang dijalani.

Beliau kemudian dipindahkan ke Pusat Saringan Kompleks Belia Sukan (KBS) dan ditempatkan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia di Kuching sebelum dibenarkan pulang sebaik sahaja didapati benar-benar sembuh dari penyakit itu.

Lebih mengharukan beliau meninggalkan sepucuk surat buat titipan petugas barisan hadapan khususnya kakitangan kesihatan yang mengharungi perang menentang wabak ini.

Ini kandungan surat yang dititipkan bekas pesakit itu kepada petugas barisan hadapan.

Assalamualaikum, Selamat Sejahtera,

Saya ucapkan setinggi tinggi penghargaan terimakasih kepada frontliner kesihatan, dr,Pegawai kesihatan, jururawat, pengawal keselamatan, yang bertugas di KBS.

Perkhidmatan yang sangat mulia dan tahap perkhidmatan yang cemerlang telah dicurahkan kepada kmai pesakit di KBS, segala keikhlasan ketabahan, kecerian jelas terpancar diwajah tuan puan, saya sangat terharu dan amat menghormati tuan tuan semua. Tuan adalah antara yang terbaik.

Terima kasih atas segala bimbingan, nasihat, segala pengawasan kesihatan kami yang telah dijaga dengan rapi, makan minum disediakan, pakaian kami sering ditukar, kesihatan kami sentiasa dijaga, masalah dan permohonanan kami juga dilayan dengan baik.

Hanya Allah yang dapat membalas budi dan jasa kalian semua. Saya mendoakan semoga klian serta keluarga terus dilindungi dari jangkitan virus dan sentiasa diberi kesihatan terbaik sepanjang masa. Amin sekian terima kasih”.



Penulisan yang biasa, tetapi mampu menusuk ke jiwa, mungkin wang ringgit bukan ukuran untuk membalas jasa dan pengorbanan mereka, tetapi dengan sedikit ucapan penghargaan cukup meredakan.

Beliau yang disahkan bebas dari jangkitan Covid19 pada 14 April lalu telah diberikan pelepasan untuk kembali ke rumah bersama keluarga.