SHAH ALAM:Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam dengan dua lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM130,000 daripada sebuah syarikat untuk menerima kontrak daripada Kementerian Pertahanan Malaysia pada 2019.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd Azhar Che Mat Dali mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan.

Mengikut maklumat pertuduhan, Mohd Azhar pada Ogos 2019 menerima suapan RM50,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat Fehm Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin melalui Pengarah Urusan Syarikat Aqsa Solution Sdn Bhd, Ahmad Hisham Mohd Tajudin.

Ia sebagai upah membantu syarikat itu dipilih menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan sistem Prisma Direktorat Peperangan Informasi (DPI) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) Kementerian Pertahanan Malaysia.

Kesalahan itu dilakukannya di dalam kereta milik tertuduh di lorong orang kenamaan (VIP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada hujung tahun 2019 menerima suapan sebanyak RM80,000 daripada Elias Jemadi menerusi Zainudin Abdul Majid selaku Pengarah Syarikat Ikaita Resources.

Suapan itu juga bertujuan bagi membantu Fehm Entity Sdn Bhd menjadi rakan strategik dan kontraktor senggaraan bagi peralatan perisikan sistem DPI BSPP Kementerian Pertahanan Malaysia pada waktu itu.

Kesalahan itu adalah di bawah Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika bersalah setiap satunya tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Hakim, Rofiah Mohamad kemudian menetapkan RM15,000 ikat jamin bagi kedua-dua pertuduhan.

BACA: Anak Mat Sabu diarah bela diri tuduhan dadah

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh untuk melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan bermula November 2020 selain tidak bole berkomunikasi dengan mana-mana saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 27 November 2020.

Terdahulu, Mohd Azhar pada 15 Oktober lalu di Mahkamah Kuala Lumpur dihadapkan dengan lima pertuduhan rasuah berjumlah RM6.3 juta.