Selepas dua bulan menjadi tahanan di Kemboja, 47 rakyat Malaysia kini dibebaskan dari Penjara Banteay Machey.

Namun, pengalaman lebih 60 hari di penjara cukup memberi kesedaran kepada Nur Mardiana Mohamad Hamzah, 25 tahun, salah seorang anak Sarawak yang ditahan.

Beliau terjerat dengan tawaran kerja di luar negara yang menjanjikan gaji lumayan.

Harapan memperoleh kerja itu bagaimanapun musnah apabila dia menjadi mangsa penipuan.

"Harapan saya selepas ini, sangat besar, iaitu saya akan belajar daripada pengalaman selama dua bulan saya dalam penjara. Sakit. Penuh dengan rintangan.

"Saya berasa sedih bercampur gembira, kerana semua berlaku dalam sekelip mata bagi saya," kata Nur Mardiana.

Sementara itu, Mark Rogers William Nun, 24 tahun, turut berkongsi pengalaman bercampur dengan tahanan lain semasa di dalam penjara.

"Susah, senang, semua ada dalam penjara. Ada juga (tahanan) yang macam kami, tak bersalah tetapi kena aniaya," katanya yang mengalami kesakitan pada kakinya semasa berada di Kemboja.

Kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Kemboja itu dijangka tiba di tanah air pada Ahad.

Mereka dijadualkan tiba di Kuching sekitar jam 1.30 petang Ahad, menggunakan pesawat dari JC International Airlines.