Sarawak kehilangan seorang tokoh politik yang cukup disegani hari ini, apabila Datuk Seri Daniel Tajem Miri menghembuskan nafas terakhir dalam tidur di kediaman milik keluarganya di Jalan Urat Mata, di Kuching pagi tadi pada usia 82 tahun.

Pemergian mantan Timbalan Ketua Menteri dan juga mantan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand itu disedari isterinya, Datin Seri Ivy Tajem sekitar jam 8.10 pagi Ahad.

"Saya beritahu dia, saya turun ke tingkat bawah.. sekitar jam 7 pagi. Jika ada apa-apa, hubungi saya sebab biasanya dia akan memanggil saya menggunakan telefon bimbit.

"Tetapi selepas satu jam, dia tidak berbuat demikian dan saya agak curiga dengan apa yang berlaku. Saya naik ke atas dan periksa dia sekitar jam 8.10 pagi dan dapati dia sudah pergi," kata Ivy.

Tokoh politik veteran ini merupakan pengasas parti politik Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) bersama-sama rakan karibnya, Tan Sri Leo Moggie.

Dilahirkan pada 15 Mac 1936 di Sungai Tanju, Kuching, Tajem memperoleh pendidikan awal di St Thomas School Kuching sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Victoria University, Wellington, New Zealand.

Beliau terlibat dalam politik pada tahun 1973 dengan menyertai Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan menjadi calon pilihan raya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga setahun kemudian.

Beliau bertahan di kerusi tersebut selama tiga penggal sehingga 1987.

Tajem dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri pada era Tun Abdul Rahman Yaakub pada 1980, dan menyandang jawatan tersebut sehingga meletak jawatan pada 1987 susulan krisis politik Ming Court.

Terdahulu pada 1983, beliau dan Leo Moggie dipecat daripada SNAP dan menubuhkan parti baharu, PBDS yang kemudian diberi lampu hijau menyertai Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat.

Sewaktu dalam PBDS, beliau menang di Parlimen Batang Lupar pada 1986, namun tumpas di Lingga pada tahun berikutnya, atas tiket pembangkang.

Datuk Seri Daniel Tajem bagaimanapun kembali menang di kerusi Dun Bukit Begunan pada penggal berikutnya, sebelum bersara daripada arena politik.

Pada tahun 1996, Kerajaan Persekutuan telah melantik beliau sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand dan beliau menggalas tanggungjawab tersebut sehingga selama empat tahun.

Tokoh politik Iban ini meninggalkan seorang balu, tiga anak dan tujuh cucu.