Bekas ahli parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah bernilai kira-kira RM230,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Pengakuan dibuat di hadapan hakim Kamaruddin Kamsun.

Beliau didakwa menggunakan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada ketika itu untuk menerima deposit tunai berjumlah RM50,000 daripada syarikat percetakan Karya Hidayah Sdn Bhd, pada 6 September, 2013.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Noor Ehsanuddin, 56 tahun, didakwa menggunakan jawatan sama menerima sebidang tanah bernilai RM180,000 di mukim Kota Tinggi daripada syarikat percetakan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 23 Mac 2014 di Pejabat Daerah Kota Tinggi.

Hakim menetapkan 27 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil.

Manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Thrichelvam dan Vincent Lawrence.

Kedua-dua pertduhan di dakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.