Belanjawan sulung kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah langkah terbaik untuk menggerakkan usaha menunaikan ikrar memulihkan kembali imej Malaysia di mata dunia yang tercalar akibat amalan kleptrokasi pentadbiran terdahulu, memacu pertumbuhan ekonomi negara dan melaksanakan keadilan sosial kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau menyambut baik iltizam kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia dengan melaksanakan reformasi institusi dan memupuk budaya negara keusahawanan, serta memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, Belanjawan 2019 juga adalah manifestasi kepada pendekatan inovatif kerajaan baharu untuk memastikan Malaysia terus kekal kompetitif dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar.

“Langkah menambah baik kecekapan dan keberkesanan SST mulai Januari 2019 bagi memastikan sistem percukaian yang lebih progresif dan berkesan adalah tindakan positif bagi memastikan hasil kerajaan terus mampan, susulan pemansuhan cukai GST yang telah membebankan rakyat keseluruhan, khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga membuktikan komitmen untuk membela nasib golongan sasar dengan menambahbaik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada kumpulan B40 mulai Januari 2019, dengan bantuan diberikan secara lebih bersasar, bergantung kepada saiz isi rumah.

“Ini adalah pendekatan yang amat baik kerana ia adalah agihan yang lebih adil dalam meringankan beban golongan yang benar-benar memerlukan serta keluarga yang mempunyai anak-anak dari golongan Orang Kurang Upaya.

“Pengenalan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40 adalah salah satu langkah yang sangat baik bagi memenuhi impian rakyat untuk menikmati keadilan sosial yang sebenar,” ujarnya.

Ahmad Faizal berpendapat, Belanjawan 2019 juga sekaligus menepis tuduhan bahawa nasib penjawat awam seluruh negara akan terjejas sekiranya Pakatan Harapan memerintah.

Katanya, ia dibuktikan dengan kenaikan gaji minima, penambahbaikan kebajikan, skim pinjaman perumahan yang lebih baik dan sebagainya, malah, pesara kerajaan juga akan mendapat faedah.

Bagi kerajaan negeri Perak, beliau amat mengalu-alukan keprihatinan kerajaan Persekutuan untuk menunaikan impian rakyat memiliki rumah pertama dengan menyediakan dana berjumlah RM1 bilion untuk membantu golongan berpendapatan tidak lebih daripada RM2,300 sebulan memiliki rumah buat kali pertama.

Tambahnya, kerajaan negeri juga amat menyokong langkah proaktif kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sektor pelancongan, selari dengan tumpuan kerajaan negeri untuk memacu sektor pelancongan di Perak.

“Kita amat mengalu-alukan komitmen kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai untuk merealisasikan potensi sebenar pulau peranginan tersebut itu sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia,” katanya.

Di samping itu, kata beliau, langkah kerajaan Persekutuan melaksanakan perkongsian 50 peratus hasil kutipan cukai pelancongan yang diterima di setiap negeri adalah tindakan terbaik untuk membantu meningkatkan hasil kerajaan negeri.

Selain itu, ujarnya, pengenalan geran sepadan RM100 juta akan disediakan kepada syarikat swasta bagi program promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa juga amat dialu-alukan.

Katanya, kerajaan negeri Perak juga amat menyambut baik cadangan kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah bagi Lapangan Terbang atau Airport Real Estate Investment Trust (REIT).

“Cadangan yang pertama seumpamanya di dunia sangat baik susulan cadangan kerajaan negeri untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa di Perak serta menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah untuk menarik kehadiran lebih banyak pelancong dari dalam dan luar negara, seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan,” tambahnya.

Ahmad Faizal berkata, langkah kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM30 juta untuk Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) bagi menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa di Malaysia juga adalah sesuatu yang sangat dinantikan, kerana ia bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Perak sebagai destinasi utama perfileman tempatan dan antarabangsa.

“Selain itu, peruntukan RM10 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk membangun dan menggalakkan E-Sports amat bertepatan dengan sasaran kerajaan negeri untuk muncul sebagai peneraju E-Sports negara.

“Ini sekaligus akan membantu kerajaan negeri untuk mencungkil bakat-bakat baru E-Sports, tetapi juga menggalakkan generasi muda untuk menceburi bidang keusahawanan dalam E-Sports,” kata beliau