Belanjawan 2019: Usaha lestari alam sekitar perlu ditangani secara serius

Belanjawan 2019: Usaha lestari alam sekitar perlu ditangani secara serius
Royal Belum unik kerana ia berusia lebih daripada 130 juta tahun dan merupakan antara hutan hujan tropika yang tertua di dunia. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Usaha kerajaan memelihara dan memulihara alam sekitar yang ditekankan dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat membuktikan keseriusannya dalam pelestarian khazanah negara untuk warisan akan datang.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia Prof Dr Ahmad Ismail berkata tumpuan kerajaan untuk memastikan Taman Hutan Selangor Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Taman Negeri Royal Belum disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) adalah tepat pada masanya.

Beliau berkata sebagai sebuah negara yang tersenarai antara 12 negara di dunia yang mempunyai kepelbagaian biologi, Malaysia mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna yang tidak ada di tempat lain dan ada antaranya sudah diancam kepupusan.
"Saya lihat ada penekanan untuk menjadikan khazanah negara sebagai Tapak Warisan Dunia. Uniknya Royal Belum kerana ia berusia lebih daripada 130 juta tahun dan merupakan antara hutan hujan tropika yang tertua di dunia," katanya.

"Ia juga memiliki spesies terancam seperti harimau Malaya dan terdapat 10 spesies burung enggang yang tidak dijumpai di tempat lain di dunia. Langkah kerajaan menjadikan ia sebagai Tapak Warisan Dunia akan memantapkan lagi usaha perlindungan khazanah negara," tambahnya.

Ahmad berkata pengiktirafan itu juga membolehkan peningkatan kemasukan pelancong ke dua kawasan berkenaan sekali gus membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

-- BERNAMA