Satu saluran khas akan diwujudkan bagi menarik lebih banyak pelaburan dari China, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, saluran khas itu akan ditubuhkan di bawah agensi InvestKL.

“Pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan yang diluluskan daripada Amerika Syarikat mencatatkan nilai tertinggi pada RM11.7 bilion, diikuti oleh Republik Rakyat China sebanyak RM4.8 bilion.

“Memandangkan China merupakan rakan dagangan terbesar negara, FDI dari China sepatutnya setara dengan Amerika Syarikat,” katanya sebagai justifikasi kepada langkah mewujudkan saluran khas itu.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, bagi mengatasi kelewatan dalam meluluskan pelaburan asing dan tempatan, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI).

“Jawatankuasa ini dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Semasa mesyuarat pertama NCI pada 28 Ogos lalu, tiga pelaburan bernilai RM2.2 bilion telah diluluskan,” katanya lagi.