Pemain industri pelancongan gembira dengan Belanjawan 2020 kerana ada permintaan mereka telah ditunaikan kerajaan pada belanjawan yang dibentangkan di Parlimen pada Jumaat, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata antara permintaan itu adalah pengecualian duti eksais 50 peratus dan pemberian elaun modal kepada pengendali pelancongan yang layak bagi membeli kenderaan baharu pelancongan.

"Kenderaan pelancongan seperti bas persiaran jenis CKD dan CBU, mahal harganya dan nak tukar pun ada tempohnya 15 tahun. Jadi dengan (insentif) ini pemain-pemain industri boleh tukar kepada bas-bas baharu, dan ia penting untuk pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian persidangan media sempena majlis Retro Havoc Car Show and Drive 4 Paul Charity Fundraising di Bandar Malaysia,pada Sabtu, dan majlis turut dihadiri Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof.

Menurutnya pihak kementerian akan menggunakan sebaik mungkin peruntukan diberikan dan mengelak sebarang ketirisan berlaku dalam menjayakan program Tahun Melawat Malaysia 2020 (VYM2020).

Pada pembentangan belanjawan pada Jumaat, Kementerian Kewangan menyediakan sebanyak RM1.1 bilion untuk kementerian itu dengan RM90 juta dikhaskan bagi program Tahun Melawat Malaysia 2020.

Pada majlis itu, lebih 400 kereta-kereta eksotik, sport dan ubahsuai dipamerkan kepada orang ramai dan bayaran masuk disumbangkan kepada Reach Out Wordwide (ROWW) iaitu sebuah badan amal antarabangsa bagi membantu mangsa bencana seperti tsunami dan gempa bumi.

-- BERNAMA