KUALA LUMPUR:Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2021 yang dilihat seperti tidak peduli kepentingan pemain industri yang ketika ini sedang tenat.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham, ahli-ahlinya kini bergantung harap kepada Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA sebanyak RM1 bilion yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Jun lalu.

“Bagaimanapun, ahli-ahli kami rasa seperti dipersendakan oleh institusi kewangan kerana selepas lima bulan diumumkan, kami diberitahu hanya 3% sahaja dana tersebut telah diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya lagi, ada di antara ahli-ahlinya mengusahakan kenderaan yang mana rata-rata menggunakan khidmat syarikat kredit untuk pinjaman mereka.

“Syarikat kredit ini tidak membantu langsung ahli-ahli kami dalam penyusunan semula jadual pembayaran balik pinjaman di masa sukar sekarang ini,” jelasnya.

SEGALANYA MENGENAI BELANJAWAN 2021, KLIK DI SINI!

LAPOR LANGSUNG: Belanjawan 2021 - Teguh Kita, Menang Bersama!

Beliau juga menyeru agar kerajaan mempertimbangkan membuka pintu sempadan antarabangsa kepada jemaah Malaysia bagi mengerjakan ibadah umrah dengan SOP yang ketat bermula Januari 2021 selepas berakhirnya Perintah Pergerakkan Pemulihan (PKPP) yang berakhir pada 31hb Disember 2020.

“Disebabkan oleh keadaan meruncing yang dihadapi oleh ahli-ahli kami yang telah hilang punca pendapatan mereka dari Febuari sehingga sekarang, maka kami merayu kepada kerajaan untuk membuka pintu sempadan antarabangsa kepada jemaah Malaysia bagi mengerjakan Ibadah Umrah dengan SOP yang ketat pada Januari 2021 selepas berakhirnya PKPP pada 31 Disember ini,

“Ini akan dapat menberi sedikit ruang kepada ahli-ahli kami bernafas kembali,” katanya.

PAPUH juga mencadangkan untuk membenarkan pelancong dari negara zon hijau untuk melawat Malaysia dengan mengadakan SOP ketat seperti kuarantin 14 hari semasa di tiba serta insuran perjalanan yang wajib.

“SOP ini telah pun diguna pakai oleh negara jiran Thailand bagi pelancong-pelancong dari China dan mereka telah berjaya menghidupkan kembali industri pelancongan di negara mereka sekaligus dapat merancakkan ekonomi mereka,” jelasnya.

Sekiranya sempadan antarabangsa tidak dibuka katanya, maka ramai antara ahli-ahlinya akan muflis, syarikat akan bankrap dan pekerja-pekerja akan terus kehilangan sumber pendapatan.

Selain itu, ahli-ahli PAPUH juga telah dilambakkan  dengan  saman-saman dari mahkamah dan  juga Tribunal  Tuntuntan  Pengguna yang  mana  telah  difailkan oleh pelanggan mereka untuk menuntut bayaran deposit dan juga bayaran penuh pakej pelancongan yang telah  terkandas disebabkan oleh  pandamik  Covid-19.

Justeru PAPUH berharap kerajaan terutamanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dapat mengeluarkan satu solusi untuk menyelesaikan tuntutan ini.