Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya membentangkan bajet bayangan 2019 dengan mengembalikan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada tiga peratus.

Perkara itu diumumkan menteri kewangan bayangan BN, Khairy Jamaluddin menerusi belanjawan yang diberi nama Inisiatif Ekonomi Rakyat di Parlimen hari ini.

Jelas beliau, GST yang diakui oleh Pakatan Harapan sebagai cukai yang lebih telus dilihat mampu mengurangkan ketirisan dalam proses kutipannya.

“Jumlah GST sama dengan jumlah SST, sebab kita kenakan pada jumlah tiga peratus bukan enam peratus.

“Jadi hasil adalah sama dengan kerajaan Pakatan Harapan. Cuma yang disebut Datuk Seri Ahmad Maslan adalah dari segi kebocoran yang bakal berlaku itu ‘black economy’, kita mungkin akan dapat pendapatan daripada itu.

“Jadi jika anda lihat kepada punca pendapatan hasil negara, kita anggarkan kita akan mendapat hasil RM247 bilion menerusi hasil baharu, cukai baharu dan menilai semula perbelanjaan,” katanya pada sidang media pembentangan belanjawan bayangan itu di Parlimen hari ini.

Selain itu, katanya terdapat beberapa lagi cukai bersasar dan hasil baharu yang dilihat akan mampu meningkatkan hasil negara yang akan dikembalikan kepada rakyat dengan saksama.

Antara hasil baharu termasuk menstruktur semula bayaran levi pekerja asing yang dikenakan dengan menaikkan pada kadar yang munasabah bagi setiap sektor dan industry, caj remit dikenakan ke atas kiriman wang ke luar negara oleh pekerja asing di negara ini pelaksanaan cukai soda pada kadar RM0.25 bagi setiap liter minuman soda.

Menerusi cukai karbon, caj RM10 dikenakan bagi setiap tan metrik kepada kilang industri yang mengeluarkan gas rumah hijau sekurang-kurangnya 25,000 tan metrik, mengenakan cukai beg plastik menerusi caj RM0.15, mengenakan cukai kekayaan terhadap individu yang mempunyai harta terkumpul tahunan melebihi RM10 juta sama ada melalui gaji, elaun, hartanah atau hasil pelaburan.

Malah, BN juga mencadangkan supaya memperkenalkan cukai Tobin yang dikenakan ke atas transaksi saham jangka masa pendek bagi mengawal spekulasi yang boleh memberi risiko ketidaktentuan pasaran saham dan membuat penstrukturan ke atas banjaran sedia ada cukai pendapatan individu dengan pengenalan kategori pendapatan RM350,000 ke atas dan RM500,000 ke atas.