SHAH ALAM:Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM2.323 bilion bagi perbelanjaan tahun 2021.

Belanjawan yang bertemakan 'Melakar Realiti Baharu: Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat' mampu mencipta 15,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Selangor, terutamanya mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan ekoran pandemik COVID-19.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.22 bilion (53 peratus) pula diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus manakala RM1.103 bilion (47 peratus) akan digunakan untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Katanya, bagi tahun 2021 juga, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.2 juta setara seperti anggaran hasil tahun semasa.

Jelas beliau, antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2021 adalah Premium Tanah iaitu sebanyak RM1.03 bilion bersamaan 46.98 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.

"Penyumbang kedua terbesar adalah hasil Cukai Tanah iaitu sebanyak RM545.84 juta bersamaan 24.81 peratus manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada Pemberian Persekutuan iaitu berjumlah RM206.85 juta bersamaan 9.40 peratus," katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 dalam Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14 di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, Belanjawan 2021 akan mengalami defisit berjumlah RM1.23 juta berpunca daripada peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan.

"Perkara itu mengambil kira jangkaan Hasil Negeri yang berjumlah RM2.2 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.323 bilion.

"Defisit ini bagaimanapun adalah lebih rendah berbanding unjuran defisit 2020 iaitu RM133 juta," katanya.

Sementara itu, beliau menambah, belanjawan itu turut memfokuskan lima strategi utama iaitu Pertanian, Pelancongan dan Agropelancongan; Kesihatan Awam dan Bandar Berdaya Huni; Usahawan Mikro, Digitalisasi & Kemiskinan Bandar; Penciptaan Kekayaan dan Industri Kreatif.