Belia melihat Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) sebagai satu platform menyatu warganegara Malaysia tanpa mengira batas atau perbezaan kaum.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kebanyakan sesi dialog yang dihadirinya menekankan isu sama oleh belia selain kepentingan toleransi rakyat.

Setakat ini, Khairy memberitahu telah menghadiri kira-kira 25 dialog TN50 yang dianjurkan di seluruh negara.

"Rakyat terutama belia mahu lihat identiti lebih bersatu untuk warganegara Malaysia. Ia merupakan aspirasi bukan sahaja hari ini tetapi banyak dalam proses dialog sebelum ini.

"Mereka mahu meruntuhkan tembok pemisah bangsa atau kaum selain menekankan aspek toleransi sesama kita," katanya semasa sidang media selepas Majlis Dialog TN50 di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

TN50 dirangka berdasarkan aspirasi golongan belia hari ini untuk membentuk masyarakat Malaysia dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Sebelum ini, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata ramai penyertaan golongan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diperlukan untuk memberikan pandangan serta cadangan bagi menjayakan TN50.

Jelasnya, input daripada mereka amat diperlukan dan semua pihak harus bersama-sama menggerakkan usaha tersebut.

Dalam pada itu katanya, identiti Malaysia yang dimahukan bukan bermakna belia membuang budaya asal masing-masing.

"Apa yang paling penting budaya Malaysia yang penuh keunikan, ia bukan bermaksud kita lupa budaya dan asal usul masing-masing," jelasnya.

Tambahnya, beberapa program seperti Parlimen Belia dan Felo Perdana membuka penglibatan pelbagai persatuan belia untuk menyalurkan pendapat masing-masing dalam TN50.

Sebelum ini, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Ke­mas­yarakatan Universiti Sains Ma­laysia (USM), Prof Dr P. Si­va­murugan berkata TN50 me­­ru­pakan platform untuk pembentukan identiti nasional tanpa mengetepikan identiti bu­daya berbilang kaum yang sen­tiasa diraikan di negara ini.

Katanya, ia harus dijadikan platform bagi rakyat untuk menerima perbezaan di samping menghormati kepel­bagaian budaya dan agama di ne­gara ini.