Seorang belia warga Malaysia telah dipilih sebagai Pengerusi Majlis Belia Komanwel (CYC) yang baharu untuk penggal 2015-2017.

Kishva Ambigapathy, 25, seorang jurutera, dipilih sebagai ketua pasukan yang baharu pada Forum Belia CYC di sini baru-baru ini, menjadikan beliau sebagai belia pertama dari Asia menyandang jawatan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pelantikan itu sebagai satu kebanggaan bagi Malaysia sambil menambah ia juga berupa pengiktirafan global kepada kepimpinan belia Malaysia.

"Kishva Ambigapathy ialah pemimpin masa kini dan masa depan, negara perlu melahirkan lebih banyak pemimpin muda seperti beliau," katanya kepada pemberita selepas dialog sarapan pagi dengan pemimpin negara di luar acara Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM,) di sini pada Sabtu.

Oleh kerana CYC mewakili badan-badan belia kebangsaan dari 53 negara anggota, pemilihan itu meletakkan beliau bertanggungjawab untuk memimpin lebih 1.2 bilion belia dari negara anggota Komanwel yang berumur bawah 29 tahun.

Ahmad Zahid juga berharap Kishva dapat memberi sumbangan positif kepada Komanwel serta meningkatkan imej negara di persada antarabangsa.

Anak muda kelahiran Pulau Pinang itu memegang ijazah kejuruteraan elektronik dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2010 dan beliau kini mengikuti program sarjana dalam bidang kajian global politik di Durham University di England.

Ketika mengulas mengenai pelantikannya, Kishva antara lain berjanji untuk mengkaji bagaimana CYC boleh memainkan peranan dalam pelbagai isu termasuk perubahan iklim, keusahawanan belia dan penyertaan belia dalam memerangi keganasan.

"Manifesto saya adalah jelas, apa sahaja isu yang dibincangkan pada Forum Belia Komanwel, kami akan berbuat demikian," katanya.

Kishva berkata semasa pertemuan singkat dengan Ahmad Zahid, beliau telah melahirkan hasratnya untuk menempatkan semula sekretariat CYC dari Sri Lanka ke Kuala Lumpur.

"Malaysia mempunyai beberapa pertubuhan belia antarabangsa termasuk Majlis Belia ASEAN dan dengan menempatkan semula pejabat tersebut, ia akan memberi manfaat kepada negara serta CYC dalam merealisasikan pelan tindakannya," kata ketua Pemuda Cawangan MIC Tanjung Malim, Perak.