Belum ada sebarang keputusan mengenai ketua pegawai eksekutif Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baharu lagi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, keutamaan buat masa kini ialah mengenai cadangan penggabungan agensi berkenaan dan Sektor Berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) terlebih dahulu.

“Kami masih belum buat sebarang keputusan lagi. Ini kerana kami sedang melihat penggabungan sektor berita RTM dan Bernama. Jika penggabungan ini berlaku, kami perlukan sebuah pasukan yang boleh melaksanakan proses itu.

“Apabila penggabungan itu sudah dimuktamadkan, barulah kami akan membuat keputusan mengenai CEO baharu,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama beliau di forum Digital Transformation Asia di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kementerian sedang melihat bekas Ketua Pengarang Roketkini, suratkhabar rasmi DAP, iaitu Wan Hamidi Hamid sebagai calon CEO baharu untuk Bernama.

Namun, pada 5 Nov lepas, Wan Hamidi melalui catatan di akaun Facebook peribadi beliau, menyatakan terdapat penentangan daripada sesetengah pihak atas cadangan perlantikan itu.

Bekas wartawan veteran itu mendakwa beliau telah dimaklumkan tidak akan dilantik ke jawatan itu selepas menjadi sasaran pihak tertentu.

“Jika anda benar-benar ingin mengetahui, mungkin anda boleh bertanya kepada Lembaga Pengarah Bernama atau Menteri Kabinet, atau pihak-pihak berkenaan, termasuk media yang membenci DAP. Mungkin mereka lebih mengetahui,” katanya melalui catatan peribadi itu.