Tutup

Belum ada keputusan rasmi mansuh aliran sains, sastera - Maszlee Malik

Belum ada keputusan rasmi mansuh aliran sains, sastera - Maszlee Malik
Kerajaan, kata Dr Maszlee Malik, ingin memastikan supaya pelajar tidak terkongkong dengan aliran-aliran pada masa hadapan. Astro AWANI
JOHOR BAHRU : Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menegaskan, kementeriannya belum memutuskan pelaksanaan pemansuhan aliran sastera dan sains mulai tahun hadapan.

Ujar Maszlee, ia masih di peringkat kajian dan tiada sebarang pengumuman dasar dibuat berhubung perkara itu dan ia hanya satu perkara yang dibincangkan dalam ucapannya di Jerman 14 Oktober lalu..
"Sebenarnya, kita tidak membuat apa-apa pengumuman dasar. Apa yang berlaku ialah, sewaktu ucapan saya di Jerman, pada sesi town hall, pelaporan yang diberikan itu menggambarkan seolah-olah ia pengumuman dasar. Belum.

"Kita mengatakan bahawa di masa hadapan, kita ingin memastikan supaya pelajar tidak terkongkong dengan aliran-aliran. Contohnya, ada pelajar aliran sains yang boleh ambil subjek sastera. Ada pelajar sastera yang boleh ambil subjek sains," katanya pada satu sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kebimbangan disuarakan Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Ros berhubung cadangan pemansuhan aliran sains dan sastera yang menurutnya boleh memberi implikasi di peringkat Universiti.

Raduan berkata, ia sekali gus bertentangan dengan saranan kerajaan menggalakkan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).





BACA: Usah tergesa-gesa mansuh aliran sains, sastera - MPN


Terdahulu, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam menghadiri program Jom Sekolah 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kerang, dekat sini.

Maszlee berkata, kementerian sentiasa terbuka menerima pandangan pelbagai pihak berhubung cadangan itu demi kebaikan pendidikan negara.

Malah trend pendidikan dunia ketika ini, jelas Menteri Pendidikan itu, melibatkan pelajaran rentas aliran dalam memanfaatkan bidang pekerjaan.

Sehingga kini, belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan.




Tag: Maszlee Malik, Pendidikan, Sains dan Sastera, Aliran, Mansuh, Jerman, Kerajaan, Pengumuman, Dasar, Bantahan, Menteri



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.