Laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) hanya akan didedahkan kepada umum apabila sampai masanya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Perdana Menteri, ia juga akan diumum selepas kerajaan mengambil tindakan terhadap laporan berkenaan.

"Waktu ini belum sampai masanya, mungkin pada waktu hadapan apabila kita sudah sudah ambil tindakan dan tidak ada kemungkinan kita dikenakan saman malu dan sebagainya, kita akan dedahkan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang bertanya adakah kerajaan mahu mempertimbang untuk menerbitkan laporan CEP dalam bentuk yang sudah disunting.

Menjawab soalan asal Ahmad Fahmi, Dr Mahathir menjelaskan, kerajaan perlu berhati-hati dalam memutuskan sama ada laporan CEP wajar didedahkan kepada umum atau sebaliknya.

Ia berikutan terdapat beberapa hasil dapatan CEP yang memerlukan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan selain mengelak polemik yang mungkin boleh menjejaskan keyakinan pelabur.

"Apa yang penting, semua cadangan penambahbaikan yang diterima dilaksanakan sebaik mungkin bagi kesejahteraan dan kestabilan ekonomi negara,” tambahnya.

Sebelum ini, Pengerusi CEP Tun Daim Zainuddin menjelaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi mendedahkan laporan 100 hari CEP secara umum kepada orang awam.

Daim bagaimanapun berkata, beliau bersama anggota CEP yang lain menyokong supaya laporan CEP yang mengandungi pelbagai cadangan daripada mereka didedahkan kepada orang awam.

Jelas perdana menteri, CEP telah tamat melaksanakan tugas secara rasmi pada 19 Ogos tahun lepas dan laporan akhirnya telah dibentang kepada beliau.

"Arahan pelaksanaannya telah diserahkan kepada Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri untuk diselaras.

"Laporan CEP adalah di bawah bidang kuasa dan menjadi urusan rasmi kerajaan, dan semua anggota CEP dan pegawai yang terlibat secara langsung tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya.





Dalam pada itu, Dr Mahathir menjelaskan, peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini menjadikan hutang negara berkurangan.

Ujarnya, kajian pada mulanya mendapati hutang kerajaan melebihi RM1 trilion sekali gus peratusan besar berbanding KDNK negara.

"Sekarang GDP negara meningkat, jadi peratusan hutang jadi kurang. Yang kedua, apabila kita selesaikan hutang dengan ambil tindakan, jadi hutang berkurangan

"Sekarang ia pada tahap tidak menjejaskan usaha kita untuk mentadbir dan membangunkan negara," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai kaedah menurunkan hutang negara di dalam laporan CEP.