Seorang bakal pengantin lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas pertuduhan melakukan samun terhadap seorang wanita dua minggu lalu.

Muhammad Azali Mehat, 27 tahun, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Tertuduh didakwa meragut beg tangan seorang wanita berusia 52 tahun yang mengandungi beg duit, MyKad, pasport, lesen memandu, kad insurans dan dua kad bank milik mangsa.

Kesalahan dilakukan kira-kira pukul 12.40 tengah hari di Jalan Melaka Baru, Taman Melaka Baru dalam Daerah Melaka Tengah pada 15 Mac lalu.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim momohon jaminan tidak dibenarkan dengan mengambil kira jenayah dilakukan adalah serius,

Namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara beliau mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM12,000 berserta syarat tambahan.

Bagaimanapun, peguam Ishak Kari yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori akan melangsungkan perkahwinannya bulan depan dan semua persiapan telah dibuat.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh kemudian membayar jaminan tersebut.

Tarikh 27 April depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes.