Menteri Pendidikan Maszlee Malik melahirkan rasa gembira selepas ramai guru dan murid yang menerima rawatan akibat bencana sisa kimia sudah menunjukkan perubahan positif dan semakin pulih.

Beliau percaya lebih ramai mangsa yang akan dibenarkan pulang dalam beberapa hari lagi.

“Pada hari ini saya sangat gembira melihat ramai guru dan murid menerima rawatan sudah semakin pulih berbanding keadaan yang dilalui mereka pada minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas hadir membuat lawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah bagi melihat sendiri keadaan pesakit yang terjejas akibat insiden pencamaran sisa kimia di Pasir Gudang, Johor, pada Isnin.

Jelas Maszlee, beliau juga bakal mendengar taklimat daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Bilik Gerakan Utama dan hasil daripada taklimat tersebut nanti akan menentukan sama ada semua sekolah yang ditutup sebelum ini benar-benar selamat untuk dibuka kepada guru-guru dan murid-murid berkenaan.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa keselamatan guru, murid, kakitan dan pekerja sekolah sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia,” ujarnya.

BACA: Bencana Kim Kim: Sekolah di Pasir Gudang masih ditutup - Maszlee

BACA: Bencana Kim Kim: Tiga beradik di Terengganu alami simptom demam, muntah

Beliau dalam masa yang sama mengutuk tindakan individu yang tidak berperikemanusiaan sehingga menyebabkan bencana sisa kimia berlaku dan menjejaskan kesihatan dserta keselamatan penduduk sekitar.

Sebelum ini Dr Maszlee memaklumkan kesemua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang masih ditutup sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Memetik Bernama, proses pembersihan sepanjang 1.5 km Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang dimulakan sejak Rabu lepas ekoran pembuangan sisa kimia, sudah selesai pada Ahad.