Majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2018 bermula dengan upacara menaikkan bendera parti, Sang Saka Bangsa oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Upacara tersebut diiringi dengan nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Ini merupakan persidangan pertama UMNO sebagai parti pembangkang selepas mengalami prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk tiba di Plaza Merdeka kira-kira pukul 8.30 pagi, disambut Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan, Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraff Wajdi Dasuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.

Ahmad Zahid dijadual menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2018 malam ini di Dewan Merdeka, PWTC.

Perhimpunan Agung UMNO 2018 akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.