Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun menjadi mangsa dera kepada ibu angkatnya sendiri apabila sering kali menjadi mangsa pukul wanita tersebut.

Wanita berusia 30 tahun itu sering kali bertindak di luar kawalan terhadap kanak-kanak malang itu apabila mahu melepaskan geram dan marah kepada suaminya.

Tindakan wanita tersebut akhirnya terbongkar apabila video rakamannya sendiri tersebar di media sosial baru-baru ini.


Sehubungan itu, polis telah menahan wanita terbabit di sebuah restoran di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, pada pukul 5 petang Khamis.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, suspek merupakan ibu angkat kepada mangsa dan suspek telah berkahwin dengan seorang lelaki yang merupakan bapa saudara kepada mangsa.

"Suspek sering memukul mangsa kerana lepas geram kepada suaminya, bagaimanapun suspek dan suaminya telah bercerai awal tahun ini.

"Siasatan mendapati kejadian tersebut dipercayai berlaku di Pangsapuri Angsana, Taman Raintree, Batu Caves, pada tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan.

Fadzil berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan suspek akan direman untuk tindakan lanjut.