Seorang gadis bertindak meneguk cecair pencuci lantai selepas ahli keluarganya masih menerima kunjungan keluarga teman lelakinya yang curang untuk menyuntingnya menjadi isteri.

Dalam kejadian di sebuah unit flat di Sungai Manila, Batu 12, di sini kira-kira jam 9 pagi, pada Selasa,
nasib baik masih menyebelahi gadis itu apabila terselamat dan hanya mengalami muntah dan sakit perut.
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, hasil siasatan awal punca kejadian dipercayai disebabkan gadis berumur 20 tahun itu mempunyai sedikit perselisihan faham dengan ibunya kerana ditegur agar jangan bersikap kurang ajar dengan tetamu.
"Tetamu berkenaan yang datang daripada Sarawak iaitu keluarga teman lelaki gadis terbabit.
"Suspek merasa tertekan kerana ibunya lebih mempercayai orang lain daripada dia sendiri. Kemudian, gadis itu telah bertindak meminum pencuci berkenaan lebih kurang 20ml," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Bagaimanapun, gadis itu sempat dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, siasatan masih diteruskan dibawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.